SELAMAT DATANG KE BLOG SENANGJE.




BERSAMA KITA BERKONGSI ILMU DAN INFO DALAM DUNIA PENDIDIKAN.



SEKADAR MEMBANTU SETAKAT TERMAMPU.


DIHARAP INFO YANG ADA DAPAT MEMBERI MANAFAAT KEPADA SEMUA YANG BERTAMU

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa
.

.

Khamis, 13 Oktober 2011

Bahasa Melayu sebagai Supernasional

Oleh PROF DR AWANG SARIYAN
Pastilah usaha merancang bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun bangsa dan negara untuk waktu mendatang memerlukan waktu dan kaedah yang serapi-rapinya. Perlu ada sesi khas untuk sumbang saran pelbagai pihak dan perlu ada pendokumentasian strategi perancangan itu, sebagai pelan tindakan yang menerjemahkan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Namun, dalam syarahan ini saya sekadar mencatat beberapa fikiran umum yang mudah-mudahan dapat membantu sedikit banyaknya perancangan bahasa Melayu dalam tempoh setengah abad mendatang.
1. Perancangan yang berkaitan dengan taraf dan peranan bahasa Melayu
i. Peruntukan undang-undang tentang taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu perlu dipertegas dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya.
Jika Kerajaan bersedia meminda atau memperluas Akta DBP dalam hal pemberian kuasa untuk mengambil tindakan kepada pihak yang menggunakan bahasa Melayu yang salah di tempat awam, maka tindakan yang sama hendaklah dikenakan kepada sesiapa jua yang tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Mekanisme penguatkuasaan dan tindakan perlu dirancang dengan rapi agar sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan dipandang serius oleh semua pihak, sama dengan seriusnya tindakan kepada orang yang melanggar undang-undang negara yang lain.
Amatlah ironis halnya apabila penguatkuasaan undang-undang pembuangan sampah yang tidak menentu dan kesalahan lalu lintas, misalnya, diberi perhatian, tidak pula undang-undang melanggar peruntukan Perlembagaan negara yang berkaitan dengan dasar bahasa atau akta pendidikan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama tidak diberi perhatian sama sekali.
ii. Taraf dan peranan bahasa Melayu perlu diperluas ranah penggunaannya.
Mana-mana pengecualian yang tidak munasabah tidak harus wujud lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan atau akta-akta lain, misalnya pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam sistem kehakiman. Demikian juga, kedudukan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi (termasuk perdagangan).
Beberapa undang-undang yang berkaitan dengan bidang perdagangan yang selama ini ‘menyekat’ penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu disebabkan akta yang berkaitan telah ‘luput tarikh’ (sebilangannya diaktakan sebelum atau pada awal kemerdekaan) hendaklah segera dipinda dan dimasukkan unsur penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu ke dalam akta pindaan itu.
iii. Taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 17(1) Akta Pendidikan 1996 hendaklah dikuatkuasakan dalam sistem pendidikan negara.
Langkah mengembalikan pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dan subjek teknikal dalam bahasa Melayu baru-baru ini hendaklah disusuli dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di peringkat tingkatan enam, matrikulasi dan pengajian tinggi. Bahasa Melayu sebagai salah subjek wajib, termasuk di IPTS sebagaimana yang ditetapkan dalam akta tersebut hendaklah dilaksanakan.
iv. Pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu untuk pelbagai lapisan khalayak perlu dijadikan agenda negara.

Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara Berhad, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mappim) yang menggemblengkan penerbit institusi pengajian tinggi dan insitusi penyelidikan dan badan-badan lain hendaklah digerakkan agar benar-benar memenuhi tanggungjawab sosial dalam penyediaan dan penerbitan karya ilmu untuk kelompok dewasa, remaja dan kanak-kanak, dalam bentuk cetakan mahupun elektronik.
Perlu ada dana yang khusus untuk menjayakan agenda memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu.
v. Perlu ditubuhkan jabatan atau unit audit bahasa yang memantau penguatkuasaan dasar bahasa, terutama dalam bidang pentadbiran.
Jabatan ini boleh ditempatkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam yang bertanggungjawab memastikan mutu perkhidmatan yang baik.
vi. Dewan Bahasa dan Pustaka yang diaktakan sebagai badan perancangan bahasa dan sastera kebangsaan hendaklah diberi wewenang sebagaimana yang seharusnya.
Gangguan terhadap pelaksanaan badan tersebut sebagai badan yang diberi amanah memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan, khususnya oleh pemimpin negara tidak seharusnya wujud. Bidang kuasa dan tujuan DBP ditubuhkan untuk memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu tidak harus terganggu oleh arahan semasa yang bertentangan dengan Akta DBP sendiri.
Usahlah diletakkan pimpinan dan karyawaan DBP dalam dilema, antara melaksanakan misi negara dengan memenuhi arahan yang tidak menepati misi tersebut.
Dalam pada itu, kepemimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka pula perlu berusaha memenuhi tujuan-tujuan badan itu ditubuhkan sebagaimana yang terkandung dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka dengan tidak terlalu terikat atau mengikat dirinya dengan kehendak semasa pihak tertentu yang bertentangan dengan peranan DBP.
DBP perlu terus kreatif dan inovatif dalam gerak kerjanya, bukan mengurangkan atau menghentikan kegiatan dan projek. Penghematan berbelanja dalam pelaksanaan projek bererti halus dan teliti dalam cara berbelanja, dan hal itu pasti disokong penuh, tetapi tidak harus sampai tidak berbelanja untuk projek-projek yang penting untuk kemajuan bahasa, sastera dan ilmu semata-mata kerana hendak memberikan kesan kepada tuan politik bahawa pemimpin DBP pandah berhemat (tetapi sebenarnya tidak memenuhi amanah menjayakan misi memajukan dan mengembangkan bahasa dan persuratan negara.
2. Perancangan yang berkaitan dengan pemupukan bahasa Melayu tinggi
i. Sebagai bahasa tonggak tamadun, usaha bersepadu melalui semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta perlu dirancang untuk membudayakan atau memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi.
Langkah Kerajaan mengadakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni merupakan langkah positif yang dapat dimanfaatkan untuk turut membudayakan penggunaan bahasa yang baik dan santun. Mudah-mudahan komponen “bahasa Melayu tinggi” dapat diintegrasikan dalam pelaksanaan kempen tersebut.
Konsep bahasa sebagai “warisan tidak tampak” atau “warisan tidak ketara” sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 perlu dikembangkan dan direalisasikan dalam kehidupan masyarakat.
ii. Media, baik media cetak mahupun media elektronik perlu meningkatkan peranannya dalam pembudayaan bahasa Melayu tinggi.
Kita barangkali memang tidak dapat membendung fenomena bahasa rojak, slanga dan segala bentuk bahasa yang mewakili realiti sosial yang ada. Namun, dengan mengupayakan penyajian program-program yang dapat memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi, bahasa Melayu dapat bertahan sebagai bahasa yang mewakili budaya tinggi.
Dengan demikian tidaklah menular fenomena “sekerat ular sekerat belut” (seperti yang diistilahkan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim) dalam penggunaan bahasa bagi tujuan yang rasmi. Yang sungguh-sungguh kita bimbangi ialah kegagalan masyarakat menempatkan ragam bahasa yang betul pada konteks dan situasinya.
Sebagaimana kita tidak mengharapkan bahasa yang baku digunakan dalam komunikasi sehari-hari tidak rasmi, maka tidak harus kita terima penggunaan bahasa ragam kolokial dalam urusan rasmi dan ilmiah.
3. Langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional
Bahasa Melayu perlu dirancang menjadi bahasa supranasional, iaitu bahasa serantau dan bahasa antarabangsa.
Bahasa Melayu yang gemilang dalam zaman Sriwijaya dan Kesultanan Melayu ialah bahasa yang tidak terikat oleh batas geopolitik. Oleh itu, dalam upaya memperkuat bahasa Melayu di peringkat negara, segala upaya memadukan kerjasama dengan negara-negara berbahasa Melayu yang lain dan mana-mana sahaja pihak yang dapat membantu melonjakkan citra dan kedudukan bahasa Melayu hendaklah dilaksanakan.
Sekali lagi kita perlu belajar daripada rakan bukan Melayu kita yang mempunyai rangkaian yang cukup erat dalam pakatan Cina antarabangsa. Sekretariat Melayu Antarabangsa perlu digerakkan semula. Kongres Dunia Melayu Dunia Islam perlu disemarakkan terus.
Dewan Bahasa dan Pustaka yang memperoleh kelulusan Kabinet pada tahun 1997 untuk menggerakkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) perlu mengaktifkan semula badan antarabangsa itu. Sesungguhnya banyak manfaat yang diperoleh daripada kegiatan pengantarabangsaan bahasa dan sastera Melayu, termasuk dalam upaya meningkatkan keyakinan orang di dalam negara sendiri.
Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa, khususnya dalam zaman bahasa Melayu klasik pada sekitar abad ke-15 dan beberapa abad berikutnya.
Pada masa ini bahasa Melayu belum sampai ke tahap bahasa antarabangsa yang dominan sebagaimana halnya dengan bahasa
Inggeris yang telah menjadi bahasa ibunda atau bahasa pertama lebih 45% penduduk 10 buah negara di dunia seperti United Kingdom, Ireland, Australia, New Zealand, Barbados, Jamaica, Trinidad, Amerika Syarikat, Kanada dan Guyana (Fishman et al., 1977), menjadi bahasa rasmi atau bahasa kedua di Botswana, Cameroon, Fiji, Gambia, Ghana, India,
Lesotho, Liberia, Malawai, Malta, Mauritius, Namibia, Nauru, Nigeria, Filipina, Zimbabwe, Sierra Leone, Singapura, Afrika Selatan, Swaziland, Tanzania, Tonga, Uganda, Saomoa Barat dan Zambia (Richards, 1991).
Dengan kedudukannya sebagai bahasa dunia yang dominan dan kini dipercayai antara bahasa dunia yang berperanan besar dalam proses globalisasi, perbincangan tentang pengajaran bahasa Inggeris kepada penutur asing menjadi tema yang mendapat perhatian besar sehingga perbincangan tentang pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing mungkin dianggap oleh sesetengah orang sebagai kurang relevan.
Namun bahasa Melayu mempunyai kedudukannya sendiri dalam perkembangan bahasa-bahasa utama dunia sehingga memang ada keperluan pengajarannya kepada penutur asing meskipun tidak seluas keperluan pengajaran bahasa Inggeris.
Fakta mutakhir yang cukup memberangsangkan ialah pernyataan tentang perkembangan dan potensi bahasa Melayu sebagai bahasa dunia yang dominan, antaranya seperti pernyataan David Graddol, Pengarah The English Company (UK) Ltd dalam jurnal The Future of Language (27 Februari 2004) bahawa bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang amat pesat berkembang.
Perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa akan dibincangkan dalam bahagian selanjutnya. Yang penting ialah bahawa atas dasar adanya keperluan bahasa Melayu diajarkan kepada dan dipelajari oleh penutur asing itu, perlu ada perencanaan yang rapi untuk memenuhi keperluan tersebut.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa ranah-ranah lain di negara berdaulat ini hendaklah dilihat sebagai amanah besar yang perlu dilaksanakan oleh semua warganegara.
Yang paling utama ialah ketekalan sikap dan pendirian para pemimpin negara agar peranan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang pembinaan negara bangsa terus ditingkatkan dan diperkukuh. Iltizam dan sokongan para penjawat awam sebagai pelaksana dasar negara pula membantu menggerakkannya dengan lancar.
Bahasa kebangsaan, yang diungkapkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera sebagai roh bangsa dan negara yang merdeka tidak seharusnya dikorbankan atas nama pembangunan dan kemajuan, kerana kemajuan yang hakiki turut meliputi keupayaan kita maju dalam bahasa dan landasan budaya kita sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan